Pengkhianat KeAdilan

Posted on September 21, 2010

4



Perebutan kuasa bukanlah satu alasan untuk memusnahkan dan memecahbelahkan parti. Akan tetapi, bukan semua orang berfikiran begitu. Malahan ada yang sanggup menggunakan Utusan Malaysia, akhbar musuh nombor satu Pakatan Rakyat sebagai medium kempennya. Lihat laporan Utusan Malaysia di bawah:

Zaid dedah Wan Azizah kurang dihormati

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Persaingan merebut jawatan nombor dua Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan akhir bulan depan semakin hangat apabila Datuk Zaid Ibrahim mendedahkan bahawa Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail kurang dihormati oleh ahli-ahlinya.

Menurut calon Timbalan Presiden itu, perbuatan berkenaan dilakukan sendiri oleh kepimpinan parti yang lebih selesa memberikan kepercayaan kepada Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengakui beliau juga memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepada Anwar atas kapasitinya sebagai pengasas parti dan Ketua Pembangkang, Zaid bagaimanapun menegaskan dari segi struktur parti, Anwar pada masa ini hanyalah ahli biasa.

“Kita tidak boleh membiarkan Presiden kita dianggap oleh sesetengah pihak hanya sebagai lambang, terlalu kerap saya dengar bisikan kononnya Wan Azizah bukan ketua sebenar.

“Malah ada pula yang mengatakan beliau tidak ada kuasa. Keadaan ini berlaku kerana ada di kalangan kepimpinan parti yang kurang menghormati jawatan Presiden,” katanya dalam entri bertajuk “Hormatilah presiden dan perlembagaan parti” yang disiarkan laman webnya, www. zaiduntukrakyat.com, hari ini.

Selain Zaid, seorang lagi calon yang telah melayakkan diri untuk bertanding ialah Naib Presiden, Azmin Ali yang dilihat lebih berpeluang untuk menang kerana menerima sokongan Anwar.

Azmin selama ini dilabelkan sebagai anak emas Anwar dan sentiasa mendapat pelbagai keistimewaan namun anak sulung Anwar, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai pada Khamis lalu menyatakan sokongan terbuka kepada Zaid.

Kenyataan berani itu dianggap oleh bekas wakil rakyat PKR, Zulkifli Noordin sebagai mewakili isi hati Wan Azizah yang tidak mahukan Azmin manakala bekas Naib Presiden, Datin Saidatul Badru Tun Said melihatnya sebagai mengesahkan dakwaan bahawa wujud konflik antara keluarga Anwar dengan Azmin.

Sementara itu, Zaid berkata, pemilihan parti pada 29 Oktober ini adalah peluang bagi ahli-ahli PKR membuat keputusan seperti berikut:

“Siapakah antara calon yang lebih berkebolehan, lebih mampu menolong dan menghormati Presiden parti.”

Katanya, menjadi tanggungjawab Timbalan Presiden untuk memberi sokongan dan bantuan sepenuhnya kepada Presiden manakala kesetiaan kepada parti bererti taat setia kepada Presiden dan menolong beliau menjalankan tugas.

“Kalau saya menang, saya akan membantu Presiden memenuhi tanggungjawab beliau. Presiden parti tidak akan dianggap sebagai lambang semata-mata,” katanya.

Posted in: PKR, Zaid Ibrahim